Translate

Sunday 29 April 2012

Kisah ‘touching’ Kucing Buta






Jack adalah seekor kucing yang dilahirkan tanpa mata dan tidak boleh melihat. Walaubagaimanapun, kucing ini gigih untuk terus hidup. Baru-baru ini dia diperkenalkan dengan seekor anak kucing terbiar, CJ namanya. Lantas Jack menjadikan anak kucing tersebut sebagai anaknya. Jack ni kucing jantan tapi dah jadi macam mak pulak.

Inilah anak kucing tu. CJ namanya. Comelkan..?

Jack melayan anak kucing tu macam anaknya sendiri

CJ belajar memanjat sambil ditemani Jack

Jack bukan sahaja menjaga anak kucing tersebut malah membawa anak kucing tersebut menggunakan mulut, membersihkan badan anak kucing tu dan juga bermain dengannya.
Sangat ‘touching’ kan... kadang-kadang manusia pun belum tentu sanggup nak jaga anak orang lain. Renung-renungkan. 


*FROM US WITH LOVE*

KISAH BENAR..!! jangan membenci kucing..

KISAH BENAR..!! jangan membenci kucing..


Budin seorang yang amat benci pada kucing, entah apa silap yang telah dibuat oleh kucing padanya tiada siapa yang tahu. Walaupun begitu, jodoh pertemuan sememangnya ketentuan Ilahi, Budin bertemu jodoh dengan Gayah yang sememangnya amat suka dan cinta pada kucing. Bukan itu sahaja, sebelum berkahwin dengan Budin, Gayah sudah sedia ada membela seekor kucing siam.
Maka dari hari ke hari, bertambah benci dan meluatlah Budin pada kucing terutama si Tompok, kucing siam peliharaan isterinya. Apa tidaknya, Gayah lebih memberi tumpuan kepada si Tompok dalam kehidupan sehari-hariannya. Hal ini membuatkan Budin beranggapan, Gayah lebih sayang si Tompok berbanding dengan dirinya. Akibat tidak mahu terus tertekan dengan keadaan ini, Budin membuat rancangan yang boleh di katakan aagak bijak untuk mengusir si Tompok dari hidupnya dan hidup isterinya Gayah. Maka, bermulalah kisah ini dengan rancangan jahat Budin.
Pucuk dicita ulam yang mendatang, ketika isterinya sedang asyik mandi, Budin dengan tanpa segan silunya telah menangkap si Tompok, lalu disumbatnya ke dalam karung beras berjenama Mehsuri. Tanpa berlengah dia terus merempit motor kapcainya sehingga jauh dari rumahnya , lebih kurang 10 km lalu dihumbanlah si Tompok tadi tanpa ada perasaan belas kasihan. Dengan hati gembira, baliklah dia ke rumah dengan siulan mengikut rentak lagu Cindai nyanyian Siti Nurhaliza yang agak famous suatu masa dulu. Tetapi, kegembiraan itu hanyalah sementara sahaja. Apabila tiba di rumah si Tompok dengan sombong dan bongkaknya melanggok di depan pintu rumah Budi. Lagaknya yang kelihatan agak macho semasa ia menyambut kepulangan Budin. Betapa sakitnya hati Budin tak dapat digambarkan lagi.
Keesokkan harinya, Budin meneruskan lagi rancangan jahatnya itu. Kali ini lebih jauh dibawanya si Tompok, kira-kira 20 km dari rumahnya. Tetapi seperti semalam Tompok berjaya mendahuluinya pulang ke rumah. Budin tidak putus asa begitu sahaja, alang-alang Budin menyeluk pekasam, biar habis basah sampai ke pangkal lenggan Budin. Maka nekadlah Budin, kali ini dia bukan sahaja hendak buang si Tompok lagi jauh, tapi dibawanya Tompok pusing-pusing dahulu. Habis semual jalan ditempuhi, sekijap ke kiri, sikijap ke kanan, yang lurus, yang bengkok,segala kona-kona maut, segala selekoh habis dirempitnya dan akhirnya si Tompok dibuang begitu sahaja. Selang berapa minit kemudian, Budin menelefon Gayah.
Berikut adalah perbualan Budin dan Isterinya Gayah melalui telefon Blackberry mereka.
Budin: Ayang, Tompok ada kat dalam rumah tak, tanya Budin dengan penuhsuspen lagi berdebar-debar...
Gayah: Ada, ada dekat depan pintu tu ha, Kenapa? tanya Gayah keheranan.
Budin: Panggil dia! herdik Budin dengan nada yang tinggi...
Gayah: Kenapa? tanya Gayah lagi.
Budin. Aku nak tanya dia, bagaimana nak balik ke rumah. Aku sesat ni!
Moralnya ialah: Janganlah kita mempunyai sikap seperti Budin kerana ia bukan saja akan menyusahkan kita, bahkan ia menyebabkan minyak motor kapcai kita dibazirkan begitu saja. Minyak pun sekarangkan dah mahal, jadi pandai-pandailah berjimat. Sayangilah haiwan kesayangan Rasulullah ini.

hehe~ jgn marah erk saje lepas tension ni~ huhu=P























Gambaran Hari Kiamat

Gambaran Hari Kiamat
- Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
- Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
- Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
- Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
- Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
- Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
- Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
- Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
- Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
- Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
- Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
- Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
- Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
- Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
- ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
- Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
- Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
- Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
- Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
- Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
- Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
- Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
- Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
- Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
- Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
- Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

Bersalin, Doktor & Hukum


  • 0
  • digg
  • 8154
     
    Share



Soalan:
Ada suatu perkara yang selama ini mengganggu fikiran saya, dan bagi saya ia telah menjadi perkara yang SERIUS. Saya telah mempunyai empat orang anak, keempat-empat anak saya tersebut lahir melalui perawatan doktor lelaki. Semenjak dari pemeriksaan hinggalah sampai mereka lahir, doktor lelaki itulah yang melaksanakannya. Yang menjadi kemusykilan saya apakah pemeriksaan bulanan ketika mengandung yang dilakukan oleh doktor lelaki tersebut dengan memegang bahagian-bahagian aurat seperti perut dan sebagainya dikira sebagai darurat. Sedangkan ketika itu isteri saya bukan dalam keadaan sakit tapi dalam keadaan normal. Apakah hukumnya jika kita membiarkan perkara itu terjadi di depan kita sedangkan mungkin kita boleh mencari alternatif lain seperti mencari doktor pakar wanita ataupun bidan?
Keluarga Muslim, KL


Jawapan:
Pada diri wanita ada ciri-ciri atau kriteria yang spesifik dan itu tidak dimiliki oleh lelaki, begitu pula sebaliknya. Apabila salah satu pihak meninggalkan kriteria yang telah ditetapkan Allah bererti ia telah meninggalkan fitrah dan merosak kudrat insaniah. Ada beberapa ketentuan dalam syariat Allah sehubungan kriteria yang dimiliki oleh wanita, oleh sebab itu berpegang teguhlah dengan syariat tersebut dan jangan perkenankan lelaki campur tangan dalam urusan dalaman jika tidak ingin dirugikan ataupun kehidupan fizikal dan kejiwaan wanita akan rosak.
Secara syariat, wanita muslimah hendaklah menjaga dirinya dan auratnya dari dilihat orang lain, kerana jika perkara ini terjadi pasti akan menimbulkan fitnah. Secara fitrah baik lelaki ataupun wanita yang bukan muhrim bersentuhan pasti akan menimbulkan berahi dan getaran jiwa yang akan mendatangkan tekanan syahwat baik banyak mahupun sedikit. Inilah namanya nafsu yang pasti ada pada diri seorang lelaki ataupun wanita yang normal.
Wanita mengandung ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bukanlah tergolong dalam keadaan darurat, kerana ketika itu wanita tersebut bukan dalam keadaan sakit. Jika ia bukan dalam keadaan darurat sudah tentu hukumnya berdosa ketika seorang doktor lelaki menyentuh bahagian-bahagian tertentu tubuh wanita tersebut. Kedudukan darurat dalam Islam adalah jika sesuatu keadaan itu tidak ada pilihan lain, maka secara terpaksa atau harus kita melaksanakan sesuatu yang pada dasarnya bertentangan dengan ketetapan Allah. Umpamanya, memakan daging khinzir hukumnya haram, namun ketika dalam keadaan tidak ada sedikitpun makanan melainkan daging itu sahaja, sedangkan kita dalam keadaan kelaparan yang boleh membawa maut, maka hukumnya menjadi harus memakan daging tersebut sekadar mengelakkan dari mati.
Begitu juga halnya dalam masalah pemeriksaan bulanan, ia bukanlah dalam keadaan darurat, sebab masih ada cara lain atau alternatif lain untuk mencari doktor wanita ataupun bidan yang beragama Islam. Apatah lagi di negara kita sekarang ini mudah didapati doktor wanita, bahkan di hospital dan klinik kerajaan pun kebanyakan yang memeriksa wanita hamil terdiri dari doktor atau bidan wanita. Mengapa kita mesti mencari doktor lelaki jika hanya sekadar menginginkan kepakaran mereka disaat mengadakan pemeriksaan bulanan. Bahkan doktor wanita yang pakar sakit puan pun telah ramai di negara ini. Maka tidak timbullah istilah ‘darurat’ ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bagi wanita hamil. Kecualilah ketika akan melahirkan, di mana wanita yang akan melahirkan tersebut memerlukan pembedahan dan perhatian yang serius dari ramai pihak. Maka ketika ini barulah boleh dipakai istilah darurat tersebut, kerana wanita yang ingin melahirkan itu tidak terfikir masalah lain, melainkan ingin selamat melahirkan anaknya.
Ditinjau dari aspek psikologi pun proses pemeriksaan bulanan yang dilakukan wanita hamil dengan doktor lelaki ini akan menimbulkan kesan yang jauh dan negatif dalam hubungan kekeluargaan. Bayangkan saja bagi seorang wanita yang selama ini hanya disentuh oleh suaminya, tentu akan merasa suatu getaran ketika lelaki lain menyentuhi tubuhnya. rasa kelainan dan getaran inilah yang membenihkan suatu keinginan tertentu kepada yang lain selain suaminya, lebih-lebih lagi ketika mereka menghadapi masalah atau krisis rumahtangga. Perkara ini sepintas lalu nampaknya macam perkara biasa dan sederhana, namun dalam jangka masa panjang, kesannya sangat membahayakan minda dan jiwa isteri tadi serta suaminya juga. Dalam hal ini bagi doktor lelaki mungkin tidak merasakan apa-apa perasaan terhadap pesakitnya, disebabkan terlalu ramai pesakit yang dirawatnya setiap hari dan ini menjadikannya lali dengan keadaan tersebut. Namun bagi seorang wanita yang normal dan sihat, getaran di jantungnya pasti akan terasa dan getaran inilah yang dinamakan syahwat.
Jika perkara ini terjadi bukanlah bererti setiap wanita yang hamil itu tidak baik atau wanita yang rendah moralnya, malah perkara ini membuktikan kenormalan wanita tersebut. Dalam hal ini kebijaksanaan suami sangat dituntut untuk melaksanakan tuntutan Islam agar isterinya mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor wanita Islam sahaja.
Saya ingin membawa contoh yang sama dalam diri seorang lelaki. Bagaimanakah rasanya perasaan seorang lelaki jika bahagian tertentu tubuhnya disentuh oleh doktor wanita dengan nada bahasa yang lemah-lembut dan baik. Sebagai seorang lelaki yang normal, pasti dia akan merasakan getaran di jantungnya, kecualilah jika ketika itu ia betul-betul sakit (dalam keadaan darurat), sehingga tidak ada yang lain difikirkannya melainkan kesembuhan dari sakitnya itu. Begitu juga halnya dengan doktor wanita yang menyentuh pesakit lelaki mungkin merasa lali dengan situasi tersebut disebabkan profesi dan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor.
Fahamilah tentang kaedah batas-batas aurat bagi seorang wanita atau lelaki yang bukan muhrim. Jika perkara ini tidak diberi perhatian secara serius, lama kelamaan akan runtuhlah sendi institusi rumahtangga keluarga muslim. Seandainya seluruh umat Islam tidak mengambil berat tentang perkara ini, bukan saja institusi rumahtangga malah negara pun akan runtuh kerana kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan bangsa. Peliharalah diri dan keluarga kita agar kehidupan bahagia di dunia dan di akhirat serta terhindar dari seksa api neraka. Wallahu A’lam…
Wassalam.

Sumber: http://www.ukhwah.com/

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Isu Perpaduan Kaum Di Malaysia

Dr Rahmat Ghazali

Usaha kerajaan untuk mewujudkan ‘sistem amaran konflik perkauman’ sebagaimana yang dicanangkan tahun lalu mengheret beberapa persepsi terhadap pencapaian negara dalam usaha menyemarakkan perpaduan kaum. Antara persoalan yang terbangkit ialah sejauh manakah usaha kerajaan selama ini berhasil untuk memakmurkan perpaduan kaum, dan apakah pencapaian usaha perpaduan kaum selama ini amat lemah sehingga kerajaan memerlukan suatu sistem indikator bagi mengesan konflik perkauman.
     
Pada junktur sejarah, usaha serius Malaysia ke arah perpaduan kaum dilihat mula bercambah setelah tercetusnya tragedi 13 Mei apabila Majlis Perpaduan Negara dan selaras dengan itu Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan. Namun saya lihat bahawa bibit-bibit usaha ke arah yang sama juga telah dibenihkan dalam Perlembagaan Kemerdekaan 1957 lagi. Dalam konteks ini klausa-klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, peruntukan pelaksanaan sekolah jenis kebangsaan dan penggunaan bahasa kaum minoriti, telahpun dimaktubkan melalui Artikel 152 dan 153, yang seringkali kita rujuk sebagai ‘kontrak sosial’ antara pemimpin-pemimpin parti pelbagai etnik yang dominan di Malaysia.

Sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh kajian Furnival (1956), negara-negara Dunia Ketiga pascamerdeka amat teruk dikacaubilaukan oleh penjajah dengan polisi ‘pecah dan perintah’. Polisi sedemikian juga amat lumayan diamalkan oleh pihak British ke atas datuk nenek kita dahulu sebelum merdeka kerana pendekatan sedemikian menguntungkan pihak penjajah. Bagi Furnival falsafah sedemikian telah mewujudkan dan mengukuhkan pluralisme atau suatu bentuk masyarakat berbilang kaum yang ‘they mix but do not combine’ atau dalam bahasa ibunda, ‘mereka bercampur tetapi tidak bersatu.’ Bagi Furnival falsafah pluralisme sedemikian lebih banyak mendatangkan bencana kepada kestabilan sosial dan politik negara. Menurut Dr Candra Muzaffar, masyarakat kita lebih cenderung kepada hubungan ‘fungsional daripada hubungan empatetik’. Makudnya kita sekadar berhubungan di pejabat, di pasar dan di tempat kerja, tetapi kita tidak mahu berkongsi masalah yang melampaui sempadan-sempadan persekitaran tersebut.

Sebaliknya kita juga sedar bahawa ‘perpaduan kaum’ adalah pemboleh ubah penting dalam menentukan kestabilan politik, sosial, malah ekonomi. Perpaduan kaum itu menuntut hubungan ‘empatetik’ sebagaimana disarankan oleh Dr Chandra. Mana-mana kerajaan jua pastinya berusaha untuk menentukan elemen-elemen penting perpaduan kaum ini digarap supaya pembangunan sosial, ekonomi dan infrastruktur dapat dicapai. Konsep masyarakat majmuk sebagaimana yang dilihat oleh Furnival, memperakui dan membenarkan keperbedaan nilai, norma, budaya dan adat resam sesuatu kaum minoriti. Malah dalam konteks Malaysia, kerajaan amat prihatin dan kaya timbang rasa sehingga toleransi dalam konsep pluralisme itu, tanpa disedari, sedikit-sebanyak telah menjadi peyumbang kepada benih-benih perkauman sesama kita.

Pada suatu ektrim tertentu saya melihat bahawa usaha jitu kerajaan untuk memakmurkan dan menyuburkan perpaduan kaum melalui program perpaduan kaum antara masyarakat berbilang etnik telah banyak terganggu dan kadangkala terbantut pada kadar yang tidak sanggup kita perakui. Tanpa niat mencabar Perlembagaan, melalui falsafah yang didokong oleh Artikel 152 (memberi hak kepenggunaan bahasa minoriti), saya melihat seakan-akan wujud konflik dengan falsafah yang didokong oleh Artikel 153 (menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi).

Saya juga terlihat Artikel 152 telah menyuburkan kewujudan sekolah-sekolah monoetnik, dan media massa monoetnik yang memberikan tumpuan kepada etnik-etnik yang diperwakilkan melalui bahasa ibunda masing-masing. Malah kita lihat papan tanda iklan kedai-kedai di mana-mana bandar di Malaysia lebih mengutamakan bahasa ibunda masing-masing daripada mengangkat falsafah Artikel 153.

Dalam persekitaran yang keterasingan sedemikian saya lihat aliran dan hala tuju perpaduan kaum tidak menggalakkan pertembungan budaya yang dibawa oleh sistem sekolah monoetknik, dan begitu juga media massa monoetnik. Hal ini menjadi semakin rumit apabila institusi politik kita juga di lihat tertegak atas falsafah monoetnik yang turut memakmurkan konsep pluralisme Furnival.

Profesor Hamdan Adnan, bekas Pesuruhjaya Suhakam, pernah mencatatkan bahawa daripada tahun 1945 hingga 1969 sejumlah dua puluh dua insiden pergeseran etnik telah berlaku, dengan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai insiden yang paling dahsyat. Saya gusar dan sangsi jika statistik sedemikian menurun kerana kadangkala diri kita sendiri seringkali menutup sebelah mata untuk mendedahkan secara serius isu-isu sedemikian.

Misalnya Malaysia tidak sunyi daripada peristiwa yang condong kepada perbalahan etnik seperti peristiwa penentangan Dong Jiao Zhong terhadap dasar kementeraian pendidikan pada tahun 1987 yang membawa kepada pelaksanaan ‘Operasi Lalang’, yang menurut beberapa pemerhati politik, hampir sahaja mengulangi peristiwa 13 Mei. Perbalahan pengurusan sebuah kuil Hindu dan masjid di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada tahun 1998, tragedi Kampung Medan pada tahun 2001, peristiwa pergaduhan etnik antara peserta PLKN, dan isu mahasiswa UM (malah di semua universiti di Malaysia secara amnya) yang tidak mesra dalam bentuk hubungan silang-etnik, mungkin mengundang kita untuk sama-sama memikirkan tentang kejayaan dasar dan modus operandi perpaduan kaum negara.

Mungkin juga pada suatu ekstrim yang lain, peristiwa-peristiwa berkenaan hanya sekadar kes-kes terpinggir yang tidak harus dilihat sebagai perbalahan etnik tetapi sebaliknya hanyalah perbalahan dua pihak yang boleh saja berlaku dalam kandang intraetnik itu sendiri, dan bukan sekadar dalam persepsi silang-etnik. Sebagaimana lunaknya peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa ‘sedangkan lidah lagi tergigit’ apatah lagi situasi iklim kepelbagaian etnik di Malaysia yang bersandar kepada perbezaan bahasa, budaya dan agama sebagai komponen sensitif yang menuntut toleransi tinggi sesama kita.

Walau bagaimanapun kita tidak boleh memandang ringan pada perkembangan hubungan ethnik kontemporari sebagaimana terpancar daripada usaha kerajaan untuk menubuhkan ‘sistem amaran konflik perkauman’ yang akan berpusat di Putrajaya. Nampaknya dengan tertubuhnya sistem sedemikian, kerajaan telah mencari pendekatan ‘adhoc’ iaitu mencegah perbalahan etnik daripada mencambahkan dan menyuburkan benih-benih hubungan mesra antara kaum. Mungkin persepsi saya salah, kerana sebenarnya kerajaan mengutamakan kedua-duanya sekali.

Meninjau realiti politik dan sosial di Malaysia, saya melihat bahawa terdapat elemen-elemen pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam hal membina perpaduan kaum, agak berbeza dengan pendekatan yang dianggap sebagai arus perdana di Barat. Pendekatan yang digunakan oleh kepimpinan Malaysia dalam beberapa aspek berada dalam ekstrim yang bersongsangan berbanding dengan teori perpaduan kaum yang disarankan oleh pemikir-pemikir Barat dan yang diamalkan di sebelah sana.

Amerika dan beberapa negara Eropah seperti Britain dan Perancis misalnya menggunakan konsep ‘melting pot’ atau ‘acuan pelebur’ dalam pendekatan mereka untuk menyatukan pelbagai etnik minoriti, etnik peribumi, dan etnik dominan dalam negara. Dalam proses peleburan itu budaya etnik minoriti terlebur, tercerna, teradun malah sesetengahnya tersirna dalam budaya majoriti yang dominan. Namun di Malaysia kita lihat konsep ‘acuan pelebur’ itu tidak wujud, sebaliknya yang wujud ialah konsep ‘salad bowl’ atau ‘mangkuk sayur-mayur’ yang tidak meleburkan mana-mana unsur etnik tetapi mempersatukan kepelbagaian warna kulit dan budaya dalam satu persekitaran ynag sama.

Dalam konteks yang sama di Britain, sama ada mereka bersetuju atau tidak, juga telah berlaku proses asimilasi budaya yang kadangkala terpaksa mengorbankan malah melenyapkan bahasa dan budaya nenek moyang golongan minoriti tertentu.

Bagi sesetengah budayawan, yang menolak model asimilasi, mereka melihat pendekatan ini sebagai satu bentuk ‘penjajahan dalaman’ kerana dalam proses ini berlaku eksploitasi golongan majoriti terhadap golongan minoriti. Namun dalam banyak contoh di sebelah Barat, golongan majoriti itu adalah juga merupakan pihak pemerintah yang melaksanakan dasar memperlemahkan budaya dan bahasa minoriti atas nama perpaduan kaum.

Dalam konteks ini, banyak kerajaan Barat yang mempertegaskan penggunaan bahasa rasmi sebagai satu-satunya bahasa komunikasi tanpa sebarang kompromi, baik dalam urusan perkhidmatan awam, pendidikan asas di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Demi mewujudkan perpaduan kaum, ada kerajaan yang mengharamkan penggunaan dan pengajaran bahasa ibunda golongan minoriti sehingga ke tahap menguatkuasakan hukuman ke atas para pelajar yang berkomunikasi antara mereka dalam bahasa minoriti di dalam kawasan dan persekitaran sekolah. Kerajaan Perancis misalnya telah hampir mengharamkan terus penggunaan bahasa Breton, kerajaan British mengharamkan bahasa Welsh dan kerajaan Scotland telah melenyapkan bahasa Gaelic di bumi Scotland. Berbeda dengan Malaysia, kebanyakan kerajaan Barat menolak sama sekali kewujudan sekolah-sekolah monoetnik dan media massa monoetnik.

Dalam konteks perpaduan kaum, Malaysia juga menghadapi banyak masalah kerana kepercayaan dan perbezaan agama tidak memungkinkan proses asimilasi berlaku. Asimilasi dalam konteks budaya juga tidak berjalan lancar kerana setiap kaum melihat bahawa budaya dan tamadun bangsa mereka masing-masing lebih dominan daripada yang lain. Orang-orang India melihat keagungan tamadun Indus yang bermula pada 2500 S.M. lebih agung daripada tamadun Melayu yang mereka lihat hanya bermula pada kira-kira lima ratus tahun dahulu (jika Kesultanan Melaka menjadi tanda aras). Kaum Cina pula melihat ketamadunan China yang bermula kira-kira 2000 S.M. di Peking jauh lebih hebat daripada tamadun Melayu. Banyaklah elemen-elemen ketamadunan ini yang boleh mereka rasionalkan untuk menyokong kelangsungan budaya mereka masing-masing.

Dengan perkiraan sebegini kadangkala saya lihat bahawa kerajaan juga menjadi serba salah dalam hal menentukan halatuju kebudayaan nasional. Misalnya, pada tahun 1982, Tun Mahathir pernah menyatakan bahawa ‘Budaya Melayu harus menjadi ciri-ciri utama budaya nasional, supaya diterima dan diamalkan oleh semua kaum. Malah terdapat juga yang mahukan budaya Melayu dijadikan satu-satunya elemen budaya nasional’ (dipetik daripada Munro-Kua 1996).

Walau bagaimanapun pada tahun 1995, Tun Mahathir dengan jelas menyatakan bahawa konsep perpaduan kaum tidak lagi bertunjangkan kepada konsep yang berasaskan budaya Melayu. Menurut Tun, ‘Bangsa Malaysia membawa maksud rakyat yang dikenali sebagai membawa identiti Malaysia, menuturkan bahasa Melayu dan meluhurkan Perlembagaan. Untuk merialisasikan bangsa Malaysia, rakyat harus mula menerima kewujudan masing-masing seada-adanya, tanpa mengira kaum dan agama’ (dipetik daripada Francis Loh Kok Wah dan Khoo Boo Teik 2002). Ertinya rakyat Malaysia harus dilihat sebagai Melayu, Cina dan India sebagimana terpancar melalui amalan budaya masing-masing. Konsep ini condong kepada konsep pluralisme Furnival.

Namun pendirian kerajaan yang sedemikian terhadap perpaduan kaum seperti berdiri atas platform yang berbeza pula jika dilihat pada matlamat yang didokong oleh Wawasan 2020, kerana ia diangkat sebagai suatu ‘Bangsa Malaysia’ tanpa melihat perbedaan warna kulit dan amalan budaya. Secara idealnya tidak akan wujud lagi Melayu, Cina atau India jika Wawasan 2020 direalisasikan. Konsep ini condong pula kepada konsep asimilasi.

Jelaslah bahawa di Malaysia pendekatan asimilasi dirujuk semula kerana saya kira pendekatan inilah dilihat sebagai yang terbaik untuk membina perpaduan kaum yang utuh dan tulen, sekurang-kurangnya dalam konteks peleburan bahasa ibunda etnik minoriti. Pendekatan sedemikian telah lama dibuktikan terbaik bagi Malaysia, misalnya dalam konteks golongan Baba Nyonya di Melaka dan juga di Pulau Pinang, golongan India peranakan atau Mami di Pulau Pinang, dan Arab Peranakan telah meleburkan sehingga mengorbankan bahasa nenek moyang mereka. Malah di kalangan golongan Baba Nyonya tercipta bahasa ‘kreol’ mereka yang tersendiri yang pastinya terbina daripada improvisasi bahasa ibunda golongan majoriti Melayu yang lebih dominan.

Amat jelas juga kita lihat bahawa budaya golongan minoriti dalam konteks asimilasi sosial teradun dalam acuan budaya Melayu meskipun secara halusnya terdapat perbezaan di sana-sini. Namun, jika budaya nasional Malaysia boleh diterjemahkan sebagai budaya etnik peribumi Melayu sebagai asasnya, maka saya lihat bahawa budaya Baba Nyonya, India Peranakan dan Arab Peranakan ini telah menjelmakan satu proses perpaduan kaum yang utuh dan tulen.

Namun realitinya dalam konteks kontemporari, dasar perpaduan kaum Kerajaan Malaysia amat mesra dan bertoleransi terhadap bahasa etnik minoriti. Penggunaan bahasa etnik minoriti tidak pernah dikenakan hukuman malah tidak pernah dilarang digunakan di mana-mana sekolah di Malaysia, meskipun di sekolah-sekolah kebangsaan. Malah diwujudkan pula sekolah-sekolah jenis kebangsaan dengan memberikan hak mutlak kepada etnik minoriti untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengajaran.

Dengan ekstrim pendekatan pluralisme atau konsep ‘mangkuk sayur-mayur’ seperti di Malaysia kita lihat bahawa dalam situasi tertentu bahasa rasmi menjadi bahasa rojak, malah dicampuradukkan pula dengan bahasa Inggeris mungkin untuk menyuntik ciri-ciri lenggok komunikasi antarabangsa. Bahasa Melayu lisan telor Cina dan telor India menjadi tegar diamalkan bukan sahaja apabila golongan ini berkomunikasi sesama mereka, malah disokong dan disuburkan oleh golongan Melayu sendiri ketika berkomunikasi dengan kaum India dan Cina.

Saya percaya bahawa untuk menjaga martabat bahasa rasmi, penggunaannya mesti juga terlaksana dalam situasi yang tidak formal, bukan sekadar dalam kandang situasi yang rasmi dan formal sahaja. Hanya golongan yang amat sensitif dan insaf sahaja yang beria-ia berjuang untuk mempertahankan gaya dan hukum-hukum tatabahasa bahasa rasmi negara, tetapi malangnya golongan ini seperti Tan Sri Profesor Ameritus Dr Awang Had Salleh, Tan Sri Profesor Dr Ismail Hussien, Profesor Dr Nik Safiah Karim, Dr Awang Sariyan, Dr Chandra Muzaffar, YB Dr Rais Yatim, dan SN A Samad Said, (sekadar menyebut beberapa nama) sudah seperti kehilangan golongan pelapis. Adakah ini suatu kepincangan dalam proses perpaduan kaum yang dicita-citakan Malaysia atau ia suatu kelebihan dan kekuatan pendekatan ‘mangkuk sayur-mayur’ Malaysia?

Akhir-akhir ini pula, kita lihat DBP mahu dinobatkan secara legitimasinya sebagai ‘polis bahasa’. Saya tidak tahu bagaimana polis ini akan melaksanakan tanggungjawabnya apabila melihat di kebanyakan bandar di Malaysia, papan-papan iklan seringkali mengabaikan penggunaan dan pengutamaan bahasa Melayu. Malah bahasa rojak yang haru-biru dan celaru sudah menjadi identiti yang tegar di papan-papan tanda kedai. Namun pada sudut yang amat jauh dalam hati kecil ini, saya optimistik bahawa DBP akan berjaya walaupun terpaksa mengambil masa yang panjang yang penuh onak dan duri, dan sekali gus menyuburkan perpaduan kaum. Saya juga yakin bahawa kejayaan tersebut haruslah dimulakan dengan semangat kecintaan yang tinggi setiap rakyat terhadap negara ini.

MAHASISWA DIMINTA MATANG IMBANGI PELAJARAN DAN DEMOSTARASI

PASIR GUDANG: Mahasiswa di negara ini perlu bersikap lebih matang dalam mengimbangi antara hak kebebasan mereka berdemonstrasi dengan tuntutan untuk berjaya dalam menuntut ilmu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun negara kini mengalami transformasi politik dengan lebih menghormati hak kebebasan individu termasuk mahasiswa, namun golongan itu perlu bijak menilai soal itu.

“Dalam apa jua perhimpunan dan demonstrasi, kebebasan untuk berhimpun yang diberi, tertakhluk kepada peraturan dan undang-undang yang mana kalau sah dan tidakk menyalahi undang-undang maka terserah kepada mereka (untuk menyertainya).

“Perhimpunan Bersih sebagaimana yang kita tahu ada perintah mahkamah yang menghalang mereka untuk menggunakan Dataran Merdeka dan kerajaan telah pun tawarkan tempat lain untuk tujuan itu.

“Jadi mahasiswa perlu memahami bahawa perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa maka apabila seseorang menyertai yang menyalahi undang-undang mereka tertakluk kepada undang-undang negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Sekolah Agama Taman Rinting, Masai di sini, semalam.
Katanya, jika seseorang mahasiswa itu melakukan perlakuan yang memalukan instusi pengajian tinggi (IPT), maka mereka juga boleh dikenakan tindakan oleh institusi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yakin tindakan gemar berdemonstrasi ini hanya dilakukan oleh segelintir mahasiswa daripada 1.3 juta mahasiswa di negara ini. Menurutnya, sebahagian besar lagi mahasiswa menyedari tuntutan untuk menumpukan kepada pelajaran kerana mengetahui mereka dibiayai subsidi kerajaan dan menggunakan wang rakyat untuk belajar-Bernama

ISU PEMBUANGAN BAYI YANG SEMAKIN BERLELUASA


                            BAYI YANG TIDAK BERSALAH MENJADI MANGSA!!!

Membuang bayi adalah cara yang paling mudah dilakukan oleh pasangan yang melakukan penzinaan dan hamil. Bagi kebanyakan kes, perempuan yang dipersalahkan dan terpaksa menanggung beban di atas perbuatan tersebut.

Isu pembuangan bayi merupakan isu sejagat. Tidak sekadar berlaku di Malaysia malah di merata tempat. Di Brunei, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana menyebabkan kematian seorang bayi dengan meletakkannya di dalam karung sampah yang mengakibatkan bayi berkenaan mati kelemasan. Di Indonesia, seorang penduduk Bekasi melihat benda berwarna kuning disyaki bayi terapung-apung di tepi sungai. Di China pula seorang bapa membuang anaknya yang berusia setahun ke dalam sungai kerana menyangka anaknya itu mati setelah tidak sedarkan diri kerana sakit perut. Manakala di Amerika Syarikat, seorang remaja perempuan berumur 19 tahun, Krystal Johnson dituduh membunuh setelah membuang bayinya ke kawasan yang kotor.

Di Malaysia, gejala ini terus berlaku dan menunjukkan aliran yang menaik. Umpamanya pada tahun 1999, sebanyak 70 kes telah dilaporkan dan pada tahun 2001, ia meningkat kepada 97 kes. Peningkatan bilangan kes ini memerlukan langkah-langkah penyelesaian dari akar umbi punca tersebut.

Bagaimanakah bayi dibuang, tempat pembuangan dan siapa yang membuangnya?

Tempat yang sering dicari ialah di dalam tandas, rumah kosong, tempat pelupusan sampah, saluran tangki najis, sungai, tepi pantai, longkang atau di rumah ibadat. Selain itu, tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.

Kepelbagaian tempat pembuangan memberi gambaran kepada kita sejauh mana tahap simpati pelakunya. Ada sesetengah kes yang pelaku menunjukkan kekejaman dan kezaliman, bayi akan dipam masuk ke dalam saluran tangki najis bagi menghilangkan bukti kelahiran. Pelaku yang masih ada simpati dan rasa bersalah akan menghormati bayi mereka dengan menyelimut, diberi susu dan diletakkan di tangga surau atau di hadapan rumah orang yang berpengaruh.

Pelaku membuang bayinya di tempat-tempat tertentu kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan kelahiran malah ia lebih malang jika perempuan berkenaan berumur 14 atau 15 tahun kerana keadaan mental dan fizikal mereka belum bersedia untuk menerima kelahiran tersebut.

Pembuangan bayi melibatkan banyak faktor. Kita tidak boleh membuat tuduhan atau menuding jari kepada satu-satu pihak kerana menyebabkan kehamilan luar nikah yang bertambah, sebaliknya melihat punca tersebut daripada pelbagai aspek. Kajian yang dilakukan oleh Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Khaidzir Ismail melalui “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap kalangan remaja perempuan berisiko tinggi atau bermasalah” memberi pendedahan betapa punca sebenar terletak pada keluarga yang bermasalah. Pengaruh rumah tangga memberi kesan ke atas pembentukan personaliti anak-anak khususnya apabila mereka meningkat remaja. Konflik dalam keluarga menendang keluar remaja untuk mencari tempat dan rakan yang boleh membantu mengatasi keadaan hidup dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kewangan, hiburan dan perkembangan emosi mereka. Tanpa pengawasan, anak-anak menjadi liberal, bersikap kurang ajar dan merencana kehidupan mengikut kehendak hati.

Masalah akan membiakkan masalah jika tidak disekat. Pembuangan bayi adalah satu masalah yang wujud sebagai impak kepada masalah lain yang wujud lebih awal. Pergaulan bebas, pengaruh dadah, capaian yang mudah terhadap bahan-bahan lucah dan pengaruh kawan adalah antara punca yang sering kali diperkatakan. Namun, jarang kita membuat analisis terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat akibat daripada proses sosialisasi.

Masyarakat membentuk sistem nilai berasaskan proses sosiolisasi yang menunjuk ajar bagaimana untuk bertingkah laku. Sosiolisasi merujuk kepada pengaruh keluarga, sekolah, institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan dan politik, pengalaman kerja, media massa dan kumpulan rakan sebaya. Nilai-nilai dipelajari dan dinyatakan melalui perlakuan dan komunikasi. Nilai memberi hala tuju tindakan terakhir yang boleh dijangkakan dan membantu mengenal pasti baik atau buruk, betul atau salah.

Nilai yang dikongsi bersama oleh masyarakat akan mengelakkan sesuatu konflik berlaku kerana fungsi nilai ialah mengehadkan ruang dan peluang untuk konflik daripada merebak dan mengganggu sistem nilai, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.

Kemodenan menyebabkan perubahan yang sangat ketara dalam proses sosiolisasi. Nilai-nilai tradisi masyarakat tradisional seperti gotong-royong, ziarah-menziarahi dan bantu-membantu semakin luntur di dalam masyarakat moden. Gotong-royong umpamanya, tidak lagi kedapatan secara meluas di bandar-bandar sebaliknya digantikan dengan perkhidmatan berbayar. Peredaran masa menyebabkan nilai-nilai tersebut merosot dengan teruknya dan digantikan dengan nilai kontemporari yang disesuaikan dengan kehidupan moden. Sistem pendidikan adalah elemen yang sangat mustahak untuk mengukuhkan nilai-nilai yang dikehendaki bagi menggantikan nilai-nilai yang tidak menyumbang kepada kemajuan.

Justeru, dalam kes pembuangan bayi, negara-negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Jerman adalah di antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran uatama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di “Baby’s Craddle” akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.

Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat.

Rasional kebenaran seperti ini untuk mengelakkan bayi dibuang di merata tempat yang boleh membahayakan diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai. Dalam kebanyakan kes, mayat bayi dijumpai di tempat yang yang sangat menyedihkan. Melalui undang-undang “Safe Haven” yang diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat terhadap undang-undang “Safe Haven” ini turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja yang terlibat. Salah satu daripadanya ialah
www.robynsnest.com/.

Melihat penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang dijangka ialah bayi yang ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah yang diguna pakai oleh Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa. Namun apakah kita mahu melihat adanya kes buang bayi di dalam longkang, pagar masjid atau di hadapan rumah kita?

Penyelesaian yang terbaik ialah menutup punca kepada masalah ini. Pendidikan yang menekankan kesucian hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak kecil di samping pencegahan daripada institusi agama dan budaya masyarakat. Penguatkuasaan sepatutnya diguna pakai untuk menjadi pengajaran kepada ahli masyarakat tetapi peningkatan kes buang bayi dari setahun ke setahun menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan hukuman sedia ada ini?