PASIR GUDANG: Mahasiswa di negara ini perlu bersikap lebih matang
dalam mengimbangi antara hak kebebasan mereka berdemonstrasi dengan
tuntutan untuk berjaya dalam menuntut ilmu.
Menteri Pengajian
Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun negara kini
mengalami transformasi politik dengan lebih menghormati hak kebebasan
individu termasuk mahasiswa, namun golongan itu perlu bijak menilai soal
itu.
“Dalam apa jua perhimpunan dan demonstrasi, kebebasan untuk
berhimpun yang diberi, tertakhluk kepada peraturan dan undang-undang
yang mana kalau sah dan tidakk menyalahi undang-undang maka terserah kepada
mereka (untuk menyertainya).
“Perhimpunan Bersih sebagaimana yang
kita tahu ada perintah mahkamah yang menghalang mereka untuk
menggunakan Dataran Merdeka dan kerajaan telah pun tawarkan tempat lain
untuk tujuan itu.
“Jadi mahasiswa perlu memahami bahawa
perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa maka apabila
seseorang menyertai yang menyalahi undang-undang mereka tertakluk kepada
undang-undang negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan
mesyuarat agung tahunan Sekolah Agama Taman Rinting, Masai di sini,
semalam.
Katanya, jika seseorang mahasiswa itu melakukan perlakuan
yang memalukan instusi pengajian tinggi (IPT), maka mereka juga boleh
dikenakan tindakan oleh institusi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau
yakin tindakan gemar berdemonstrasi ini hanya dilakukan oleh segelintir
mahasiswa daripada 1.3 juta mahasiswa di negara ini. Menurutnya,
sebahagian besar lagi mahasiswa menyedari tuntutan untuk menumpukan
kepada pelajaran kerana mengetahui mereka dibiayai subsidi kerajaan dan
menggunakan wang rakyat untuk belajar-Bernama
No comments:
Post a Comment